Assalamualaikum. Semoga anda berada dalam keadaan sihat dan diberkati Allah.
Sanggupkah ada lihat rumah yang anda bina hasil usaha dan penat lelah anda demi keselesaan anak-anak akhirnya terbiar usang dan anak cucu anda terpaksa hidup merempat dalam kesusahan disebabkan kegagalan anda membuat perancangan harta pusaka?
Masalah harta pusaka sering menjadi topik hangat di kalangan masyarakat kita. Lebih parah apabila pemilik harta tidak membuat perancangan dengan betul ketika masih hidup.
Saya sering didatangi oleh mereka yang mempunyai masalah harta pusaka bertanyakan pendapat dan nasihat dalam menguruskan harta pusaka ahli keluarga mereka yang sudah meninggal.
Saya ingin menjelaskan di sini, saya hanya boleh bantu anda membuat perancangan kewangan dan harta sebelum masalah timbul. Sekiranya masalah sudah timbul, saya bukan lagi individu yang anda perlu cari.
Sebaiknya anda mendapatkan khidmat nasihat dari pakar yang lebih bertauliah seperti peguam.
Tetapi sudah menjadi adat orang Melayu terutamanya. Apabila sudah jatuh ditimpa tangga, barulah ada kesedaran. Waktu itu mungkin sudah terlambat.
Kenapa perkara ini berlaku?
Pertama: Salah anggap
Ramai yang masih keliru dan tersalah anggap tentang pembahagian harta pusaka terutama harta bersama seperti rumah.
Saya tahu ramai yang membeli rumah secara bersama antara suami dan isteri.
Si suami menganggap selepas kematian mereka, segala harta yang mereka miliki akan menjadi hak mutlak isteri dan anak-anak.
Begitu juga si isteri. Si isteri menganggap apa sahaja harta yang ditinggalkan oleh arwah suami adalah milik isteri dan anak-anak sahaja tanpa mereka sedar bahawa ibu dan ayah si suami juga mempunyai hak ke atas harta tersebut.
Cuba bayangkan jika ada di antara ibu ayah yang tidak tahu hak faraid, dan isteri juga tidak tahu bahawa ada hak ibu bapa ke atas harta suami. Khuatir ada yang termakan hak orang lain tanpa sedar. Tahukah anda apa hukum memakan harta atau hak orang lain? Hukumnya HARAM.
Kedua: kurang ilmu mengenai pengurusan dan perancangan harta.
Kurangnya ilmu dan pengetahuan mengenai pengurusan dan perancangan harta menyebabkan ramai di antara masyarakat yang tidak sedar tentang kepentingan untuk membuat perancangan harta
Di sekolah, kita hanya belajar subjek matematik, sejarah, sains dan seangkatan dengannya tetapi kita tidak pernah diajar subjek pengurusan harta sedangkan kita tidak boleh lari dengan isu dan masalah ini walau apa pun pekerjaan kita.
Saya pernah berjumpa dengan orang yang hebat, yang sangat berjaya dalam pekerjaannya dan mempunyai harta yang banyak tetapi sayangnya beliau tidak tahu menguruskan harta-harta tersebut sehingga anak cucu terpaksa menanggung akibatnya.
Ketiga: Lalai dan leka.
Ada juga diantara kita mempunyai ilmu pengetahuan tentang pengurusan dan perancangan harta. Mereka sedar akan kepentingan tersebut tetapi mereka tidak bertindak kerana sibuk dan leka dalam kehidupan.
Mereka sibuk mengejar dan mengumpul harta sehingga terlupa dan tidak sempat untuk merancang pembahagian harta sehinggalah ajal datang menjemput mereka.
Keempat: Menganggap kematian itu tidak akan datang dalam masa terdekat dan menganggap bahawa tidak akan ada sebarang masalah selepas berlaku kematian.
Mereka menganggap mereka masih muda dan sihat. Tidak mungkin mereka akan meninggal dalam masa terdekat.
Tahukah anda, pada tahun 2021, sebanyak 21.3% rakyat Malaysia yang berumur 15 hingga 40 tahun meninggal dunia disebabkan oleh covid-19? Tidakkah umur sebegini dianggap masih muda untuk meninggal?
Tapi siapa kita untuk melawan kuasa Allah? Siapa sangka seluruh dunia dikejutkan dengan kehadiran Covid-19? siapa sangka kita salah seorang mangsa covid-19? Dan siapa sangka yang kita meninggal dunia disebabkan oleh covid-19?
Tiada siapa diantara kita tahu bila kita akan meninggal dunia. Apa akan terjadi sekiranya kita tidak sempat membuat perancangan harta?
Sebab itu pentingnya kita bertindak dari sekarang.
Kelima: Pengaruh dari orang luar.
Kadang-kala kita terlalu cepat terpengaruh dengan mereka yang tidak pakar dan tidak cakna tentang perancangan harta menyebabkan ada di antara mereka yang bertangguh untuk membuat perancangan harta. Mereka merasakan tiada kepentingan untuk membuat perancangan harta. Siapa yang akan rugi dalam hal ini? Adakah orang yang mempengaruhi anda itu akan rugi? Tidak. Anda dan waris anda yang akan rugi.
Saya pernah terjumpa satu situasi di mana si suami ingin membuat hibah untuk si isteri tetapi si isteri cakap tak perlu. Kononnya si isteri tidak mahu disalah anggap sebagai seorang yang ‘gila harta’.
Apabila si suami meninggal, berlakulah masalah di mana si isteri tersebut yang sebelum ini hidup senang bersama suami terpaksa hidup susah membesarkan anak-anak seorang diri. Waktu itu baru si isteri rasa menyesal kerana menghalang si suami membuat perancangan harta.
Ada banyak lagi kisah-kisah perebutan harta pusaka yang berlaku di kalangan masyarakat yang boleh dijadikan teladan.
Terus mengikuti blog saya kerana saya akan berkongsi pelbagai info dan ilmu tentang perancangan harta dan kewangan.
Semasa masih sihat dan waras akal fikiran, ambillah peluang untuk merancang harta dengan segera.
Jangan ulangi kesilapan mereka yang telah pergi.
0 Comments